KUALA LUMPUR: Dengan menggariskan matlamat ‘Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan’, Rancangan Malaysia Ke-12(RMK-12) dirangka dengan cukup teliti dan hala tuju jelas ke arah mempersiapsiagakan Keluarga Malaysia untuk menikmati taraf hidup lebih baik.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebagai menteri kanan bertanggungjawab terhadap kluster infra beliau komited untuk memastikan penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 (km) Lebuh Raya Pan Borneo.
Komitmen pucuk kepimpinan negara dalam RMK-12 untuk mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar serta melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak, membuktikan komitmen kerajaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 Keluarga Malaysia, katanya mengulas Rancangan Malaysia RMK-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.
“Sehingga 21 Ogos 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) membelanjakan RM2,904 juta bersamaan 54.3 peratus peruntukan belanja pembangunan,” tegas beliau.
KKR, tambahnya, komited untuk meneruskan agenda kerajaan yang memfokuskan kepada projek berkepentingan rakyat pasca pandemik bagi lima tahun akan datang, khususnya ke arah mempertingkatkan infrastruktur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Menurut Fadillah, kesinambungan projek jalan raya yang berpaksikan rakyat akan terus diberi perhatian demi keselesaan dan keselamatan Keluarga Malaysia dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian.
Bagi Sarawak katanya, fokus utama kementerian semestinya untuk menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo selain meneruskan projek infra lain, antaranya Projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 1, katanya.
Bagi Projek Pan Borneo Sarawak Fasa 1 kemajuan setakat ini telah mencapai 71 peratus siap dan jangkaan paling awal siap sepenuhnya pada akhir 2022, tegas beliau.
“Tahniah Perdana Menteri atas pembentangan rancangan lima tahun yang mantap dan inklusif, menyantuni seluruh Keluarga Malaysia tanpa mahu ada yang terpinggir daripada menikmati pembangunan menyeluruh yang disasarkan,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti